SHEIKH MUHAMMAD TAHIR JALALUDDIN
Nama penuhnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhammad. atau dikenali dengan
gelaran Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari (9 Disember 1869 - 26
Oktober 1956), merupakan tokoh bidang Falak Syari di alam Melayu Nusantara yang
telah memantapkan bidang fardu kifayah tersebut di rantau ini menerusi pengajaran,
penggunaan dan penyibaran ilmu tentangnya di kalangan 'alim ulamak yang
bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.
Kehidupan Awal:
Sheikh Muhammad Tahir dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadhan 1286 Hijrah
bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi Minangkabau, Sumatra
Barat. Bapanya seorang ulamak dikenali sebagai Sheikh Muhammad (juga bergelar
Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking); datuknya keturunan bangsawan
Minangkabau bernama Tuanku Ahmad Jalaluddin.
Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan oleh keluarga pihak ibunya; dan apabila
berumur hampir 12 tahun, telah dihantar ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmuilmu
agama Islam. Beliau berada di Makkah selama lebih 12 tahun. Di antara bidangbidang
yang telah beliau perolehi dan perdalami ialah ilmu-ilmu al Qur'an, Hadith,
Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir,
Hisab Handasah dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan
kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara berpangkat sepupu
dengannya yang pada waktu itu terlantik sebagai Mufti Mazhab Shafi'i di Masjidil
Haram. Sheikh Tahir pulang ke Sumatra ketika berumur 24 tahun dan selepas 4 tahun di sana, sekali lagi berangkat ke Timur Tengah, kali ini ke Mesir.
Pengajian:
Bidang Falak telah beliau perdalami lagi semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir
selama 4 tahun (1314-1318 H. bersamaan 1893-1897 M.). Semasa di situ beliau
menerima juga pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh
Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang
berjuang untuk membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur-baur adat-resam kuno, dan mengembalikan Islam ke landasan al-Qur'an dan Hadith yang suci. Lantaran kegiatan Sheikh Muhammad Tahir yang berkait dengan pemikiran Reformasi inilah, beliau dikenali juga sebagai ahli'Kaum Muda'atau golongan ulamak Reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.
Semasa di Mesir beliau mula berdampingan dengan tokoh-tokoh perjuangan Islam -
seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha -- yang bergiat dalam penulisan rencanarencana melalui akhbar yang berunsur Islam, seperti Al-Manar. Sheikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan rencana-rencana ilmiah dalam akhbar tersebut. Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan sekembalinya ke Tanah Melayu, dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah-majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (di bawah kelolaan
Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi dan lain-lain rakannya, dan akhbar -Saudara.
Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir, sama
ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatra ataupun untuk membuat perniagaan secara sampingan. Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir semasa zaman mudanya di Sumatra tidak kekal. Beliau bernikah dan bercerai sebanyak 5 kali semasa itu, di atas persetujuan
pihak-pihak isteri berkenaan, kerana adat Minangkabau waktu itu sangat mendorong para wanita dan keluarga mereka untuk memperolehi zuriat daripada 'alim ulamak. Walau bagaimanapun, sistem Adat Perpatih yang kuat itulah juga di antara sebab-sebab Sheikh
Tahir berpindah keluar dari daerah Minangkabau dan merantau ke Tanah Melayu mulai
tahun 1317H/ 1899M.
Sumbangan:
Sheikh Muhammad Tahir telah melahirkan karya-karya yang meliputi beberapa bidang.
Yang paling penting dari sudut Falak Syar'i ialah kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada
tahun 1357 H./ 1936 M.) iaitu kira-kira untuk Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan
Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman; dan Kitab
Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta
logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362 H./ 1941 M.).
Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari telah kembali ke rahmatullah
pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengistiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar