Jumat, 07 Oktober 2011

TUAN HAJI MOHD KHAIR BIN HAJI TAIB

TUAN HAJI MOHD KHAIR BIN HAJI TAIB

Allahyarham Tuan Haji Mohd. Khair Bin Hj. Mohd Taib, atau dikenalinya juga dengan
nama Pak Khair dilahirkan pada malam Jumaat, 11.30 malam, 8 September 1922 M
bersamaan dengan 7 Rabiul awal, 1340 H. Beliau dilahirkan di Kampung Bakar Bata,
Alor Setar.
Allahyarham Tuan Haji Mohd Khair Bin Hj. Mohd Taib, mendapat pendedahan awal
mengenai ilmu falak ketika beliau belajar di Madrasah al-Hamidiah ( Limbung Kapal )
pada tahun 1936. Ketika itu melalui gurunya Ku Arifin, beliau mempelajari kaedah
pengiraan waktu solat.
Ketika Ma’had Mahmud, mata pelajaran ilmu falak syarie telah diajar. Walaupun modul
pengajaran ketika itu hanya merangkumi penggunaan Rubu’ Mujayyab, beliau tetap
menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu falak. Guru yang mengajarnya itu
ialah Ku Ariffin.
Setelah tamat pengajian di al-Mahsyur, Pulau Pinang, di dorong minat yang sangat
mendalam terhadap ilmu falak, beliau pergi ke Kuala Kangsar, Perak bagi berguru
dengan seorang tokoh falak yang sangat dihormati ketika itu iaitu Syeikh Tahir
Jalaluddin. Dalam pertemuan itulah, Tuan Haji Mohd Khair melahirkan hasratnya untuk
bergurukan ilmu falak dari Syeikh Tahir, dengan nada yang bersungguh-sungguh. Syeikh Tahir dengan senang hatinya menerima beliau sebagai muridnya. Beliau yakin bahawa Tuan Haji Mohd. Khair akan menjadi satu-satu anak muridnya nanti yang mewarisi kemahiran dalam ilmu falak.
Dengan penerimaannya sebagai murid, Tuan Haji Mohd. Khair telah diberikan sebuah
peti besi yang penuh berisi dengan peralatan untuk mempelajari ilmu falak. Setelah itu
bermulalah pengajian beliau dengan Syeikh Tahir dalam pengajian ilmu falak sesudah
sekian lama menantikan saat tersebut.
Dirumah Syeikh Tahir menjadi sekolah bagi Tuan Hj. Mohd Khair mendalami ilmu falak.
Dalam masa pengajiannya, beliau turut membantu gurunya menguruskan hal hariannya.
Beliau mencari kayu api, mengangkut air dan sebagainya. Beliau juga mengambil
kesempatan belajar secara sambilan di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala
Kangsar di mana pada paginya di Idrisiah dan sebelah petangnya di rumah Syeikh Tahir.
Setelah 2 tahun berguru dengan Syeikh Tahir, setelah beliau merasa yakin dan dapat
mengusai dengan ilmu falak, Tuan Hj. Mohd Khir mengambil keputusan untuk pulang ke Alor Setar. Beliau kembali dengan semangat yang berkobar untuk menyebarkannya dan menggunakannya bagi berbakti kepada masyarakat.

Sumbangan:
Sekembali beliau dari Kuala Kangsar, beliau menemui sahabatnya Haji Salleh
Shamsuddin[ bagi mengumpulkan di antara 15-20 orang yang meminati ilmu falak. Tidak kira samada muda atau tua. Beliau menyampaikan hasrat ini dengan bersungguh-sungguh kepada sahabatnya itu. Walau bagaimanapun beliau telah menerima ujian pertama dalam usahanya dalam mengembangkan ilmu falak ini, setelah sahabatnya tidak dapat mencari mereka yang benar-benar berminat dengan ilmu falak.
Beliau tidak patah semangat dan masih cuba mengembangkan ilmu ini pada masyarakat.
Akhirnya beliau menemui Tuan Guru Haji Yahya Junid, iaitu abang iparnya sendiri yang
merupakan pengasas kepada Madrasah al-Taufiqiyah. Setelah berpuas hati dengan
penjelasan Tuan Hj. Mohd Khir, beliau membenarkan adik iparnya itu mengajar ilmu
falak di sekolah tersebut. Maka jadilah Madrasah al-Taufiqiyah tempat beliau
mencurahkan segala ilmu berkait dengan ilmu falak. Bukan saja murid-muridnya terdiri
dari pelajar-pelajar, tapi juga dari kalangan guru-guru di Madrasah tersebut. Beliau bukan saja mengajar ilmu falak tapi turut mengajar lain-lain subjek. Antara buku yang menjadi rujukan utama beliau ketika mengajar ilmu falak ialah :
1. Sebuah buku yang ditulis oleh gurunya sendiri iaitu Tuan Syeikh Tahir.
2. Nautical al-Manac yang diterbitkan di England.
3. Sebuah buku bahasa Arab.

Beliau telah menumpahkan sepenuh perhatian dan usahanya dalam mengembangkan ilmu falak ini di Madrasah ini. Hampir 9 tahun lamanya beliau tanpa jemu dan letih berusaha mengembang ilmu falak ini pada setiap mereka yang berminat.
Setelah pulang ke tanahair sekitar 1978, beliau telah bekerja dengan Institut Dakwah
( INDAH ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ). Beliau telah ditugaskan
memberikan kuliah ilmu falak kepada pegawai-pegawai kerajaan, orang awam dan
pelajar-pelajar yang berminat mempelajari ilmu falak.
Beliau juga berusaha menyiapkan beberapa modul berkaitan, bagi menjadikaan kursus ini menjadi lebih sistematik dan efektif. Modul kursus Falak Syarie tersebut ialah :
i. Pengenalan ilmu falak Syarie dan perkembangan pengajian dalam sejarah
tamadun Islam.
ii. Nas-nas Naqliah dan pandangan ulama’ berkaitan dengan falak syarie.
iii. Penentuan Tarikh/ Taqwim.
iv. Pengiraan waktu solat.
v. Penentuan arah kiblat.
vi. Pengiraan Hilal.
vii. Penentuan Gerhana.
viii. Hisab Pergerakan Cakerawala/Planet sistem suria.
ix. Astronomi Fizikal.
x. Penggunaan Peralatan Falak.
xi. Lawatan
xii. Latihan dan Ujian.
Beliau juga telah diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam Persidangan di
Istanbul, Turki pada 27-30 November 1978. Di antara resolusi yang telah dikeluarkan
adalah hasil dari cadangan beliau sendiri. Ianya berbunyi :
“ Ijtimak matahari dan bulan tidak kurang dari 8 jam sebelum ghurub matahari.”
Ia akhirnya diterima sebagai salah satu dari kriteria kenampakan hilal.

Pada 6 Okt 1981, Tuan Haji Mohd Khair telah dilantik denagn rasminya sebagai
Karyawan Tamu di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam. Bersesuaian dengan
kepakaran beliau dalam ilmu falak beliau telah ditugaskan untuk :
i. memberi kuliah-kuliah falak kepada pelajar dan pensyarah;
ii. membantu pihak jabatan dalam perkara yang berkait dengan falak seperti menentukan waktu solat, kenampakan hilal dan penentuan arah kiblat;
iii. menghasilkan karya dalam bidang falak syarie dan menyusun kelendar;
Dalam satu seminar Falak Syarie pada 22-24 Jan 1982 anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, beliau telah membentangkan satu kerja yang bertajuk “
Perkembangan Ilmu Falak Syarie Selepas Zaman Rasulullah SAW ”. Pada penutup dan
resolusi kursus tersebut beliau telah mengemukakan cadangan dan syor. Antaranya
penubuhan Persatuan Falak Syarie Malaysia. Ia bagi tujuan mengumpulkan semua
peminat-peminat ilmu falak dan medan untuk mereka bertukar-tukar fikiran.
Akhirnya dengan usaha beliau dan anak-anak muridnya, pada 1 Muharram 1404 H
bersamaan 7 Okt 1983 M bertempat di Dewan Kuliah II, Fakulti Pengajian Islam,
mesyuarat pertama bagi penubuhan persatuan ini telah diadakan. Mesyuarat telah
bersetuju , menubuhkan Jawatan Kuasa Penaja bagi Persatuan Falak Syarie Malaysia dan beberapa port folio telah diwujudkan. Tuan Haji Mohd Khair telah dilantik menjadi
penasihat kepada ini.
Pada 28 Oktober 1989, ahli Falak Syarcie yang terkenal, Haji Mohd Khair Haji Mohd
Taib telah meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh pada kira-kira jam 10.00 malam
kerana sakit barah. Beliau disemadikan di tanah perkuburan orang Islam di Rapat Jaya,
Ipoh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar